KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita tempatan selepas dipercayai mengoyak dan membakar naskah Al-Quran, awal pagi tadi.
Suspek berusia 32 tahun, yang juga seorang pengawal keselamatan didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah tangga tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata wanita berkenaan dilaporkan mengoyak helaian naskah Al-Quran sebelum membakarnya.
“Bahagian Siasatan Jenayah, Daerah Dang Wangi, menerima maklumat kejadian ini pada jam 1.15 pagi tadi sebelum menahannya pada jam 2 pagi.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati suspek dipercayai menghadapi tekanan akibat masalah keluarga,” katanya.
Noor Dellhan berkata ujian saringan air kencing juga mendapati suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah.
“Pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (tidak membawa pengenalan diri),” katanya.
Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.