Tumpuan :
Nasional

Kotor dan ada najis tikus, kedai popia basah terkenal Melaka diarah tutup

Ruangan premis dikesan mempunyai najis tikus dan bahan popia dibiarkan terdedah. – FOTO: NSTP

MELAKA: Tahap kebersihan lokasi penyediaan makanan berada pada tahap sangat tidak memuaskan menyebabkan premis popia basah terkenal di bandar raya ini diarahkan tutup serta-merta.

Arahan penutupan premis itu dibuat pada operasi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) malam tadi.

Selain keadaan dapur yang kotor termasuk mempunyai najis tikus, bahan mentah untuk membuat makanan terbabit dibiarkan terdedah dan berselerak selain ada yang diletakkan bersebelahan tong sampah.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, tindakan penutupan itu dibuat selepas anggota penguat kuasa mendapati premis berkenaan langsung tidak mengambil berat tahap kebersihan premis.

“Premis itu diarahkan tutup selama 14 hari susulan pemeriksaan yang kami buat mendapati premis berada dalam keadaan tidak suci apabila makanan disediakan diletakkan di atas lantai dan bahan mentah pula diletakkan bersebelahan tong sampah.

“Malah, tauhu basah diletakkan di atas lantai dan tempat membungkus popia berselerak di sekitar dapur serta bercampur dengan bahan yang boleh menyebabkan pencemaran kepada makanan.

“Pemeriksaan kami juga mendapati semua pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika mengendali makanan selain pekerja wanita pula memakai perhiasan diri yang sangat ketara,” katanya selepas menyertai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Rokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Bukit Baru, di sini.

Mengulas lanjut, Ngwe berkata, sebanyak lima notis dengan nilai RM1,600 dikeluarkan JKN kepada pemilik premis terbabit.

“Kedai popia itu antara 24 premis menjual makanan di daerah Melaka Tengah diperiksa namun hanya tiga yang diarahkan tutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dibuat.

“Selain premis popia itu, terdapat dua lagi yang diarahkan tutup kerana tahap kebersihan memuaskan adalah gerai jualan sarapan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini