Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Penyanyi irama pop yeh yeh, A. Halim atau nama sebenarnya Halim Md. Diah lumpuh sebelah badan selepas menghidap strok sejak lima tahun lalu. Penyanyi dan pencipta lagu Kisah dan Tauladan itu tidak lagi dapat menyanyi kerana peti suaranya sudah rosak.
Beliau yang tinggal bersama anak keduanya, Elly Halim di Seri Alam di sini lebih banyak terlantar dan sesekali menggunakan kerusi roda.
Ia bagi memudahkan beliau berulang alik ke hospital kerana masalah penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Sebelum kena strok, papa masih aktif menyanyi. Dia tidak kisah berapa bayaran yang diterima kerana terlalu minat dalam bidang seni. Kini kami adik beradik bergilir-gilir menjaga papa, tapi papa dan mama lebih banyak berada di rumah saya.” kata Elly.
Meskipun berdepan strok, ingatan A.Halim masih kuat dan sering berkongsi kisah zaman kemasyhurannya bersama cucu, rakan dan taulan.
Siang tadi, nasib yang menimpa A. Halim turut mendapat perhatian vokalis kumpulan Grand, Amy yang pernah popular menerusi lagu Bila Cinta Didusta versi duet bersama Syura.
Turut menghulurkan bantuan bagi meringankan beban A. Halim, Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) yang menyalurkan sumbangan kerusi roda dan barangan keperluan asas.
Berusia 76 tahun, A. Halim mempunyai 22 orang cucu dan 3 orang cicit.