PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang hingga Rabu ini.
METMalaysia berkata keadaan hujan berkenaan dijangka berlaku di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, dan Pasir Puteh bagi Kelantan.
Terengganu pula membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu amaran hujan lebat peringkat kuning (waspada) turut membabitkan negeri Pahang di daerah Kuantan dan Pekan yang berlarutan sehingga 29 November ini.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.