Tumpuan :
Nasional

Kos tinggi, gaji rendah, Malaysia terperangkap dalam kitaran ekonomi berbahaya – PM

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah terperangkap dalam kitaran ekonomi yang berbahaya iaitu kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah dan kurang nilai daya saing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akibat peningkatan pendapatan yang tidak sepadan dengan lonjakan ekonomi, separuh isi rumah terbawah terbeban dengan hutang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga menghadapi dilema yang sama dengan faedah pertumbuhan perlu diagih secara seimbang dan gaji atau upah rakyat mesti setimpal dengan hasil kerja mereka.

“Purata gaji dan upah tenaga kerja masih rendah yakni sekitar 35 peratus.

Seperti sering saya singgung, defisit belanjawan berterusan sejak 1998 dengan angka hutang dijangka mencecah lebih 60 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 akan memberi kesan yang parah kepada ekonomi negara.

“Negara terbeban dengan hutang yang membengkak dan 16 peratus hasil negara diperuntukkan hanya untuk melunaskan hutang.

“Gejala ini dikhuatiri akan mengekang keupayaan kita menumpu kepada pembangunan yang akan menjamin keselesaan rakyat termasuk pelaburan awam serta penjanaan kebolehupayaan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Loading...
Terkini