comscore
Tumpuan :
Nasional

Kos rawatan hemodialisis tidak pernah dinaikkan sejak 2016 – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah menaikkan kos rawatan hemodialisis di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bayaran RM13 untuk satu sesi, atau lazimnya RM169 sebulan bagi perkhidmatan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu, adalah bayaran sama sejak 2016.

Selain itu, katanya perkhidmatan asas di fasiliti KKM juga kekal RM1 manakala perkhidmatan pakar ialah RM5.

“Telah tular kembali mesej berantai lama yang mendakwa bahawa Malaysia kini menuju ke arah ‘khidmat kesihatan berbayar’ . Adalah ditegaskan bahawa kerajaan Malaysia terutamanya di bawah pentadbiran Malaysia MADANI telah berulang kali menegaskan iltizam mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi buat masa ini dan sehubungan itu, penularan mesej tidak tepat dan tidak bertanggungjawab seperti itu harus dihentikan.

Hantaran itu turut dimuat naik tangkap layar mesej yang mendakwa rawatan hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma kerana pesakit wajib membayar RM13 bagi satu sesi atau RM169 sebulan, yang kononnya telah bermula sejak lebih setahun lepas, sedangkan ia sebenarnya ada fi yang sama sejak 2016. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini