Tumpuan :
Nasional

Kos pengambilan tanah untuk LRT Pulau Pinang kekal pada kadar nominal – Anthony Loke

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar taklimat ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Tapak Projek Bandar Sri Pinang di sini hari ini. Turut hadir Anthony Loke dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. FOTO NSTP

GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan akan memastikan kos pengambilan tanah untuk Projek Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara kekal pada kadar nominal.

Langkah itu diambil bagi meminimumkan beban kepada Kerajaan Persekutuan yang membiayai projek itu.

Menterinya, Anthony Loke memberi jaminan rundingan secara tegas bersama kerajaan negeri Pulau Pinang akan dilaksanakan bagi memastikan hasrat itu tercapai.

“Saya ada mendapat arahan daripada Perdana Menteri dan Kabinet, walaupun Ketua Menteri daripada parti yang sama dengan saya tetapi mesti berunding dengan tegas bersama kerajaan negeri supaya dari segi kos tanah juga nominal kepada Kerajaan Pusat.

“Saya boleh memberikan keyakinan kepada Perdana Menteri, saya akan berunding atas kapasiti Menteri Pengangkutan bukan atas kapasiti parti kami, saya akan mempertahankan kepentingan Kerajaan Pusat,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek LRT Laluan Mutiara yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bandar Sri Pinang, di sini hari.

Loke berkata, projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km), merangkumi 21 buah stesen di lokasi-lokasi yang strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A).

Katanya, salah satu penambahbaikan utama bagi projek LRT Laluan Mutiara ini adalah sambungan stesen terminus dari Komtar ke Penang Sentral, meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.

Projek LRT Laluan Mutiara dirangka dengan visi yang jelas untuk menyokong perkembangan masa depan dengan potensi sambungan laluan ke kawasan penting seperti Tanjung Bungah dan Air Hitam, menerusi stesen pertukaran di Komtar.

Beliau menegaskan, kerajaan juga cakna terhadap maklum balas daripada rakyat berkenaan penjajaran Projek LRT Laluan Mutiara untuk lebih memenuhi keperluan komuniti setempat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini