KUALA LUMPUR: Penetapan sama ada kos bagi mengerjakan haji meningkat atau kekal akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata buat masa ini ia belum dimuktamadkan kerana masih dalam perbincangan.
“Kita dalam peringkat akhir perbincangan dan bila ia sudah dimuktamadkan, perkara itu akan dibawa kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Kita kini sedang dapatkan tarikh untuk bertemu (Anwar), kemudian beliau akan beri pandangan dan jika ia dipersetujui barulah kita akan umumkan (mengenai kos haji).
“Selepas itu, bila pengumuman kos haji sudah dibuat, kita akan mulakan agih surat pada mereka yang layak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Biasiswa Al-Falah Madani, hari ini.
Ogos lalu, Mohd Na’im mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di Kuala Lumpur dan membincangkan mengenai pelbagai perkara termasuk berkaitan kuota dan kos mengerjakan haji.
Dalam pertemuan itu, Mohd Na’im turut menyatakan hasrat untuk menambah kuota haji negara ini berbanding diperuntukkan pada tahun lalu sebanyak 31,600 orang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.