KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji (TH) susulan pengekalan kos haji bagi jemaah 2025.
Mohd Na’im turut memuji usaha berterusan TH dalam meneruskan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah.
“Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah kepada TH kerana dapat mengekalkan kos haji dan meneruskan bantuan kewangan haji.,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.
Beliau juga berharap bakal jemaah haji negara ini dapat membuat persedian sebaiknya sebelum memulakan ibadah berkenaan.
Terdahulu, TH dalam satu sidang media hari ini mengumumkan bayaran haji bagi tahun 2025 menyaksikan kenaikan 20 peratus bagi jemaah muassasah kumpulan B40 dan M40 akibat peningkatan kos penginapan, penerbangan, dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Kadar bayaran bagi kumpulan B40 yang menunaikan haji buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000, meningkat daripada RM12,356 pada 2024.
Bagi kumpulan M40, kadar bayaran baharu ialah RM23,500 berbanding RM19,152 pada tahun sebelumnya. Sementara itu, kadar bayaran bagi kumpulan T20 kekal pada RM33,300, sejajar dengan kos haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.