KUALA LUMPUR: Keseluruhan kos pembaikan jalan rosak akibat banjir yang menjejaskan beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini sudah mencecah RM101.57 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia membabitkan kos RM45.37 juta bagi pembaikan di Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak pula RM56.2 juta.
Di Semenanjung, beliau berkata, ia membabitkan kerja pembaikan jalan berkala pavemen dengan kos sebanyak RM15.7 juta dan bukan pavemen (RM26.97 juta), jambatan (RM1.5 juta) serta lampu isyarat dan lampu jalan (RM1.2 juta).
“Di Sabah, jalan berkala pavemen (RM35.72 juta) dan bukan pavemen (RM9.78 juta), manakala di Sarawak, jalan berkala pavemen (RM6.55 juta) serta bukan pavemen (RM4.15 juta),” katanya ketika ditemui media pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di kementeriannya, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Azman Ibrahim.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pembaikan cerun runtuh di tiga negeri terjejas banjir, iaitu Kelantan, Perak dan Terengganu pula membabitkan kos sebanyak RM41 juta.
“Secara keseluruhan, ada sembilan lokasi terkesan dan mengalami kerosakan akibat MTL, termasuk insiden cerun runtuh. Ia membabitkan masing-masing dua lokasi di Kelantan serta Terengganu dan lima lagi di Perak,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis hari ini, beliau berkata, KKR menetapkan sasaran untuk menurunkan angka projek sakit hingga ke tahap sifar, tahun ini.
“Meskipun secara nisbah puratanya, jumlah projek sakit adalah kecil berbanding projek siap, namun ini tidak bermakna kita boleh berpuas hati dan berasa bangga. Mungkin ada (pihak) yang kata mustahil sifar (projek sakit) tetapi kita mesti ada sasaran,” katanya.
Alexander berkata, KKR juga bercadang melaksanakan sistem merit untuk mengukur tahap prestasi dan akauntabiliti syarikat konsesi serta kontraktor dalam pelaksanaan tugas mereka.
“Keberkesanan dalam pengurusan projek dan penyenggaraan jalan adalah antara faktor utama yang sering dinilai oleh rakyat.
“Penelitian lanjut mengenai sistem merit itu akan dibincangkan secara lebih komprehensif pada peringkat pengurusan kementerian bersama pihak konsesi dan kontraktor agar satu kata sepakat dapat dicapai bagi merealisasikan pelaksanaan sistem berkenaan,” katanya.
Selain sistem merit, beliau berkata, dengan memperkenalkan ‘platform pengurusan digital’, setiap aspek projek akan dipantau secara telus dari fasa perancangan hingga ke fasa penyelenggaraan.
“Kita juga boleh memanfaatkan sistem data besar (big data) untuk menganalisis prestasi projek dan mengenal pasti potensi pembaikan sebelum masalah timbul.
“Dengan pengurusan lebih sistematik, kita yakin setiap projek yang dilaksanakan akan memberi impak maksimum kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), Alexander berkata, satu Kertas Jemaah Menteri mengenai hala tuju pelaksanaannya akan dibawa ke Kabinet, bulan ini.
Katanya, ia berikutan KKR telah mengeluarkan surat kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terbabit dalam projek MLFF bahawa rundingan berkenaan tidak akan diteruskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.