BUTTERWORTH: Kos pembaikan jalan Persekutuan dan cerun akibat di seluruh negara akibat banjir gelombang pertama setakat kelmarin mencecah RM312.1 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kos pembaikan jalan Persekutuan adalah sebanyak RM247 juta, diikuti cerun jalan Persekutuan RM40.3 juta.
“Jalan negeri pula dianggarkan berjumlah RM24.8 juta,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata, pihaknya juga mengaktifkan bilik gerakan bencana sepanjang menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan mempertingkatkan persiapan dalam berdepan banjir gelombang kedua.
“Minggu lalu, Kementerian Kerja Raya dan JKR dan syarikat konsesi turun membantu mangsa banjir. Saya juga turun padang ke Kelantan dan Terengganu.
“Ini menjadi kebiasaan pada setiap tahun yang kita akan pertingkatkan apa kita boleh bantu (mangsa banjir) termasuk dalam kerja-kerja pembersihan.
“Kita telah bersiap sedia berdasarkan pengalaman sebelum ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.