KUALA TERENGGANU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan supaya nama Pasar Payang ditukarkan kepada Central Market Pasar Payang.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata cadangan itu sudah dikemukakan beliau kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
“Saya menaruh harapan tinggi supaya bangunan indah ini apabila diberi nama Central Market Pasar Payang Terengganu satu hari nanti. Ia juga akan dapat penarafan sebagai satu warisan negara seperti Central Market of Kuala Lumpur pada masa akan datang,” katanya.
Projek pembangunan semula Pasar Payang bernilai RM70.3 juta telah siap sepenuhnya dijangka beroperasi bermula Ramadan ini.
Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang diadakan di Pasar Kedai Payang Satu di sini hari ini.
Dokumen diserahkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fazli Mohd Kenali kepada Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Rosli Latif dengan disaksikan Kor Ming bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bangunan dua tingkat itu menempatkan 600 lot perniagaan.
Ia hanya menempatkan perniagaan berasaskan kesenian dan kebudayaan.
Sementara itu, Dr. Ahmad Samsuri berkata pihaknya akan memperhalusi cadangan nama baharu pasar itu dan akan mengumumkan tarikh pembukaannya dalam masa terdekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.