comscore
Tumpuan :
Nasional

Kopi Pejuang dilarang dijual, ada racun berjadual

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Produk ‘Kopi Pejuang’ dilarang dijual di pasaran kerana dikesan mengandungi racun berjadual iaitu tadalafil, selain tidak memaparkan maklumat pengilang pada label bungkusan.

Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarah semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut untuk menghentikan serta-merta penjualannya.

Mereka juga diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk tujuan penyitaan.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

“Apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KKM, penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya serta kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Selain itu, label produk berkenaan didapati tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar atau empunya hak untuk mengilang mahupun pengimport.

Justeru, produk tersebut tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan.

“Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut,” katanya.

Jelasnya, pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada penjualan produk makanan yang dicampur atau mengandungi bahan terlarang terbabit.

Mengulas lanjut, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menegaskan produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Sejak tahun 2021 sehingga Julai lalu, sebanyak tujuh daripada 500 sampel kopi pelbagai jenama yang dianalisis  didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurut KKM, tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.

Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana PKD, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook PKKM di http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq.

Sebelum ini media melaporkan, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau minum kopi tiga dalam satu ‘Prime Kopi Pejuang 3 in 1’ yang mendakwa boleh mempertingkatkan kesihatan seksual lelaki.

Ini selepas dua orang yang minum kopi itu jatuh sakit teruk, termasuk seorang yang mengalami priapisme atau ereksi alat kelamin selama empat jam selepas minum kopi itu.

Priapisme adalah keadaan perubatan yang serius dan boleh merosakkan tisu alat kelamin serta menyebabkan mati pucuk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini