Tumpuan :
Nasional

Koperasi NSTP kini Koperasi Media Prima Berhad

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua, kiri), menandatangani plak perlancaran ketika Majlis Pelancaran Koperasi Media Prima Berhad, di Balai Berita Kjmpulan Media Prima Berhad, Bangsar, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sempena 58 tahun usia penubuhannya, Koperasi New Straits Times Press (M) Berhad secara rasmi menukar nama dan logo baharu kepada Koperasi Media Prima Berhad (Kopmedia).

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, perubahan itu menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah koperasi syarikat.

Katanya, pertukaran nama baharu ini bukan sekadar perubahan nama semata-mata, bahkan mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan kebajikan warga kerja MPB terus terpelihara, khususnya kepada semua anggota koperasi yang menyumbang kepada pembangunan koperasi sejak dahulu lagi.

“Koperasi memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggotanya. Konsep koperasi ini cukup mudah, iaitu setiap anggota menyimpan sebahagian kecil pendapatan melalui potongan gaji.

“Hasil daripada tabungan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penyimpan, tetapi juga dapat digunakan untuk membantu anggota lain yang memerlukan,” katanya pada Majlis Pelancaran nama dan logo baharu Kopmedia di Balai Berita Kumpulan MPB di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz; Pengarang Urusan Kumpulan (GME) MPB, Jasbant Singh dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME), Farrah Naz Abd Karim; Pengerusi Kopmedia, Mohd Fadzil Abdul Ghani dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Pada majlis sama, Syed Hussian turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan logo baharu Kopmedia, anugerah anggota setia melebihi 35 tahun serta hadiah pembeli tertinggi Coop Mart.

Syed Hussian berkata, lokasi strategik berdekatan dengan MPB memberi kelebihan kepada anggota untuk berurusan dengan koperasi dengan lebih mudah dan efisien.

“Dengan warga kerja Media Prima kini beroperasi di bawah satu bumbung sama, diharap ia akan memudahkan segala urusan berkaitan dengan koperasi.

“Ini satu kelebihan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak untuk meningkatkan penyertaan dan keberkesanan koperasi dalam membantu anggotanya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, sejarah penubuhan koperasi terbabit bermula pada 11 Disember 1967 dengan nama Strait Times Press Cooperative Thrift and Loan Society (Malaysia) Limited sebelum bertukar nama kepada Koperasi New Straits Times Press (M) Berhad Pada 4 Mac 1980.

Katanya, pada 10 Disember 2024, koperasi ini menjalani satu perubahan besar apabila bertukar nama kepada Kopmedia bertujuan memperluas skop perkhidmatan dan manfaat kepada lebih ramai kakitangan MPB serta memperkukuh kedudukan koperasi dalam landskap ekonomi semakin dinamik.

“Penubuhan Kopmedia menandakan satu langkah ke hadapan dalam usaha memperkukuhkan kebajikan dan kesejahteraan anggota, khususnya kakitangan dan bekas kakitangan Media Prima Berhad dan NSTP Berhad,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, selari dengan penubuhannya, Kopmedia diwujudkan dengan matlamat utama memberikan sokongan dan manfaat kepada semua anggota termasuk dalam aspek ekonomi, kebajikan serta pembangunan profesional.

“Seiring dengan perkembangan semasa, Kopmedia juga berusaha untuk mengubah stigma koperasi daripada sekadar tempat untuk pinjam-meminjam kepada budaya menabung iaitu daripada tabungan anggota, koperasi dapat membantu ahli lain melalui pinjaman ketika mereka memerlukan, selaras dengan objektif koperasi dalam memperkukuh kestabilan kewangan anggota,” katanya.

Pada 2018, koperasi ini pernah menduduki kedudukan ke-35 terbaik daripada 14,000 koperasi di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini