comscore
Tumpuan :
Nasional

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang jelajah 10 negeri

Anwar menyempurnakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, hari ini.- Foto: NSTP

CYBERJAYA: Bagi menzahirkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 akan menelusuri 10 negeri.

Pelepasan konvoi yang turut disertai 50 motosikal berkuasa tinggi daripada Suzuki VStrom Owners Club Malaysia (SVOCM) itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini, hari ini.

Presiden SVOCM, Mohamad Zaidi Yahya, 64, berkata semangat ditonjolkan ahli kelab itu yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, malah ada peserta sudah mencecah usia 60-an, merupakan pengorbanan mereka dalam menzahirkan semangat cintakan negara.

“Peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk penjawat awam, golongan korporat dan mereka yang berniaga sendiri. Kami bercampur dan yang penting, persahabatan kami tidak kira bangsa. Kami ada India, Melayu dan Cina.

“Konvoi ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menguar-uarkan sambutan Hari Kebangsaan. Ada juga program yang telah diatur oleh Jabatan Penerangan (JaPen) untuk kami sertai di setiap negeri yang kami sampai.

“Selain itu, kami juga akan menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan ini merupakan inisiatif kelab kami sendiri,” katanya.

Mohamad Zaidi berkata, KMJG 2024 akan menjelajah ke Selangor, Johor, Melaka, Terengganu, Perak, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perlis sebelum berakhir di Kuala Lumpur.

“Kembara kami akan berakhir pada 21 Ogos nanti sebelum bertemu semula untuk perarakan Hari Kebangsaan dengan disertai kira-kira 50 ahli kelab.

Ini adalah kali pertama kami berkolaborasi dengan JaPen,” katanya.

Sementara itu Setiausaha SVOCM, Senthil Kumaran, 47, menzahirkan ucapan terima kasih kepada JaPen kerana sudi menjalinkan kerjasama dengan kelab permotoran untuk bersama-sama memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan MADANI, termasuk Kementerian Komunikasi. Saya ucapkan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’,” katanya.

Secara keseluruhan, Konvoi KMJG 2024 membabitkan 90 peserta dan 65 kenderaan, termasuk daripada JaPen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor.
– BERNAMA-

 

Loading...
Terkini