Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) kali ke-9 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini akan meningkatkan tahap pengetahuan dan pendidikan pelajar dalam isu rasuah.
Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nazli Rasyid Sulong, menerusi konvensyen itu, golongan berkenaan akan lebih peka dan prihatin bahawa tanggungjawab memerangi rasuah adalah tanggungjawab semua pihak.
“Golongan pelajar juga merupakan golongan sasar yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan dengan nilai-nilai murni, pendidikan pencegahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Ia sebagai asas penting sebelum menempuh alam pekerjaan yang akan terdedah kepada jenayah rasuah serta berharap dengan pendedahan yang diberikan pada konvensyen kali ini, peserta dapat membentengi diri daripada perkara negatif,” katanya dalam kenyataan.
Konvensyen AMAR anjuran SPRM sehingga Ahad ini yang bertempat di Alor Gajah, Melaka menghimpunkan seramai 118 ahli AMAR terdiri daripada Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Institusi Pendidikan MARA dan institut pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Bertemakan ‘Mahasiswa Bermaruah Memartabat Negara’, konvensyen tersebut selaras hasrat menjadikan golongan pelajar sebagai ‘key-communicator’ dalam menyebar luas usaha pencegahan rasuah di negara ini.
Mengulas lanjut, Nazli Rasyid berkata, konvensyen itu juga bertepatan dengan hasrat SPRM yang mahu golongan pelajar turut bersama menggembleng tenaga dengan suruhanjaya terbabit bagi membanteras rasuah sekali gus mewujudkan masyarakat yang menolak rasuah.
“Menerusi konvensyen yang berkonsepkan pertandingan ini, peserta akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi ceramah dan dialog, ‘team building’, pembentangan kajian keberkesanan program AMAR serta pengisian kerohanian.
“Aktiviti ini dengan objektif yang memberi fokus untuk mendapatkan dan memelihara sokongan golongan pelajar supaya mereka dapat bekerjasama dengan SPRM,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.