comscore
Tumpuan :
Nasional

Kontraktor Sabah jadi sasaran penipuan tawaran tender

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Polis menerima 35 laporan berhubung penipuan pelbagai jenis tawaran tender yang menyasarkan kontraktor dengan kerugian lebih RM1.69 juta antara Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kes terbaru membabitkan seorang kontraktor yang tertarik dengan tawaran tender membekal mesin ecoflow power station ke sebuah jabatan kerajaan.

Katanya, kontraktor terbabit kerugian RM64,200 selepas mempercayai suspek yang mengaku sebagai pegawai kerajaan untuk memasukkan duit ke dalam satu akaun bagi pembelian mesin terbabit.

“Siasatan mendapati, mangsa pada mulanya menerima aplikasi WhatsApp dari suspek yang menyamar sebagai pegawai jabatan kerajaan dan menawarkan tender membekalkan wayer kabel seterusnya membekalkan mesin ecoflow power station kepada jabatan berkenaan.

“Mangsa kemudian berminat dan bersetuju dengan tender yang ditawarkan dan bagi meyakinkan mangsa, suspek turut menghantar dokumen pesanan kerajaan serta surat setuju terima,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, suspek juga memberikan nombor telefon pembekal mesin ecoflow power station bagi memudahkan urusan mangsa berikutan pembekal berkenaan pernah membekalkan mesin ecoflow ke jabatan itu.

“Atas dasar percaya, mangsa menempah sebanyak enam unit mesin ecoflow power station lalu membuat bayaran berjumlah RM64,200 ke dalam akaun suspek sebaik menghubungi nombor yang diberikan.

“Mangsa juga menerima invois melalui Whatsapp dan dijanjikan minyak terbabit akan dihantar terus ke jabatan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, selepas itu, mangsa telah terima tempahan tambahan dari individu yang sama lalu rasa curiga.

“Mangsa kemudian menghubungi penama semula namun gagal dihubungi dan nombor mangsa sudah disekat.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa rasa tertipu dan membuat laporan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima 35 laporan dengan modus operandi sama bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini yang membabitkan kerugian RM1,692,915.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang awam dinasihatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran tender melalui media sosial.

“Mereka perlu buat pengesahan terlebih dahulu sebelum berurusan atau pun membuat bayaran dengan jabatan berkenaan atau ke akaun-akaun yang diberikan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini