comscore
Tumpuan :
Nasional

Kontraktor hadapi 15 pertuduhan guna dokumen palsu bagi projek sekolah lebih RM1.1 juta

Lahama (berdiri dua dari kanan), Norman (tengah) dan Juhanifah (tiga dari kiri), hadir di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. – Foto : NSTP

TAWAU : Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 15 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kerja penyelenggaraan berjumlah lebih RM1.1 juta tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lahama Abdul Halim, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga.

Lahama didakwa dengan curangnya mengemukakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata bank syarikat miliknya, Fajar Mario Engineering dan Raudhah Enterprise kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin 2020.

Selain 12 penyata akaun bank, tertuduh juga didakwa memalsukan dokumen Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan, Perakuan Pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia serta Sijil Perolehan Kerja CIDB Malaysia, yang semuanya atas nama syarikat Raudhah Enterprise.

Semua dokumen palsu itu digunakan untuk tujuan menipu bagi mendapatkan Sebut Harga kerja Penyelenggaraan Bangunan dan Pagar, Baik Pulih, Naik Taraf Dan Kemudahan Lain yang berkaitan di empat sekolah menengah iaitu masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan, SMK Abaka, SMK Balung dan SMK Kalabakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekolah terbabit antara 17 hingga 28 Julai 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Nurul Izzati Sapifee menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, dikehendaki melapor diri kepada SPRM Tawau dua bulan sekali serta dilarang mendekati saksi pendakwaan.

Hakim Jason Juga kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 serta membenarkan semua syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 September depan.

Sementara itu, rakan pekongsi syarikat Fajar Mario Engineering, Norman Jamil, 42, dan seorang lagi pemilik bersama Raudhah Enterprise, Juhanifah Musa, 36, masing-masing turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu bersama Lahama.

Norman berdepan sembilan pertuduhan, manakala Juhanifah enam pertuduhan masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kedua-dua pertuduhan juga disebut semula pada 12 September depan dan membenarkan ikat jamin RM20,000 (deposit RM5,000).

Tertuduh juga diarah  melapor diri kepada SPRM Tawau dua bulan sekali.

Loading...
Terkini