Tumpuan :
Nasional

Kontraktor, Dua Pekerja Ubahsuai Kediaman Tidak Terlibat Kehilangan Zalina Azman

SHAH ALAM: Polis mengesahkan kontraktor dan dua pekerja yang melakukan kerja pengubahsuaian rumah bekas personaliti TV3, Zalina Azman tidak terbabit dalam kes kehilangan wanita itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kontraktor berusia 30-an dan pekerjanya dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan kes kehilangan Zalina, dua minggu lalu.

“Mereka memaklumkan kerja pengubahsuaian bermula 2019 selepas setahun Zalina membeli rumah itu dan ia dilakukan secara berperingkat dengan dimulakan pendawaian, studio untuk galeri, tempat masak dan rakaman.

“Kos ubah suai rumah itu berjumlah kira-kira RM320,000 dan Zalina sempat membuat pembayaran RM260,000 yang dibayar secara berperingkat mengikut kerja pengubahsuaian yang dijalankan dan bayaran terakhir pada Ogos tahun lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, kerja pengubahsuaian rumah Zalina juga dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, Zalina kemudian tidak meneruskan pengubahsuaian kerana tidak mempunyai wang ketika proses ubah suai rumah itu sudah siap kira-kira 60 peratus.

“Polis mengesahkan kontraktor dan dua pekerja itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina.

“Setakat ini, sebanyak 20 keterangan sudah diambil sejak kehilangan wanita itu pada November tahun lalu,” katanya.

Mengulas mengenai polis melakukan tindakan geledah kediaman Zalina sebanyak tiga kali, Mohd Iqbal memaklumkan ia bagi memastikan pihaknya tidak tertinggal sebarang bukti.

“Dalam pemeriksaan terakhir 28 Julai lalu, kita mengambil satu unit komputer riba untuk dianalisa dan beberapa dokumen.

“Pemeriksaan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) juga gagal mengesan sebarang jejak di rumah itu,” katanya.

Pada 18 Julai, media melaporkan polis giat mencari bekas personaliti TV3 itu yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Polis menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November bagi memaklumkan bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital–Berita Harian.

Loading...
Terkini