TEMERLOH: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menggali tanah milik kerajaan secara haram di Kampung Bolok, di sini April lalu.
Pertuduhan ke atas Ee Tze Shien, 38, dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bolok, Mukim Semantan di sini pada jam 2.05 petang, 13 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara Akta 828 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika disabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Taqiyuddin Azizan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Mazura Ismail yang mewakili Ee, merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan kerana tidak dapat bekerja selepas jentera digunakan tertuduh disita susulan kejadian itu.
“Walaupun tidak mempunyai pendapatan sejak empat bulan lepas, tertuduh tetap menanggung sewaan jentera dan mesin kepada pemiliknya selain masih membayar gaji pekerja,” katanya.
Mazura juga memaklumkan tertuduh yang beralamat di Mentakab, tidak berisiko untuk melarikan diri kerana mempunyai isteri dan anak di daerah ini.
Hakim Jamaludin kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes pada 5 Oktober depan.