comscore
Tumpuan :
Nasional

Kontrak FWCMS dengan Bestinet didapati kurang cermat – PAC

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (tengah) ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati kontrak Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) antara kerajaan dengan Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) yang ditandatangani pada September lalu, sebagai langkah kurang cermat.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia adalah kerana caj bayaran yang dikenakan adalah tinggi dan akan membebankan majikan serta pekerja asing.

Beliau mendedahkan, keputusan kerajaan untuk menandatangani kontrak itu dimaklumkan kepada PAC dalam prosiding tindakan susulan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen berhubung sistem terbabit diadakan 6 November lalu, berdasarkan Arahan Perbendaharaan 304 (b) pindaan 2023.

“Dalam laporan Tindakan susulan ini, PAC memberikan ulasan pada setiap maklum balas yang diberikan KDN dan KESUMA terhadap lima syor yang dikemukakan jawatankuasa ini.

“Berikutan itu, PAC sebulat suara dalam perbincangan khas yang diadakan semalam membuat keputusan untuk memulakan prosiding berhubung perolehan sistem FWCMS oleh KDN pada 10 Disember ini.

“PAC akan memanggil Jawatankuasa Induk FWCMS yang dipengerusikan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta tiga ahli jawatankuasa induk, termasuk Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman; KSU KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, Dr Faziah Abu Bakar,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam prosiding itu, saksi yang hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan (MOF)Ramzi Mansor, Ketua Setiaushaa KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof.

Prosiding diadakan bagi mengetahui maklum balas KDN dan KESUMA terhadap lima syor yang dikemukakan PAC dalam laporan mengenai isu berkenaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 Julai lalu.

Mengulas tindakan memanggil pihak terbabit, Mas Ermieyati, berkata ia penting untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai tindakan kerajaan menandatangani kontrak dengan syarikat berkenaan.

“Keterangan dan penjelasan daripada Jawatankuasa Induk FWCMS ini penting bagi PAC mendapatkan justifikasi terhadap keputusan kerajaan menandatangani kontrak perjanjian sistem berkenaan dengan Bestinet,”
tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini