comscore
Tumpuan :
Nasional

Kontena terbang: 100 syarikat disyaki terlibat

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR:100 syarikat disyaki terlibat dalam sindiket kontena terbang dengan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi melancarkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, syarikat berkenaan adalah ejen penghantaran yang bertindak sebagai orang tengah untuk membuat bayaran kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kita sedang menyiasat kewangan syarikat terutama ‘forwarding agent’. Kita membawa masuk JKDM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana membabitkan siasatan kewangan.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan di Balai Berita NST di Bangsar, hari ini.

Ia susulan penahanan 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang, Selangor yang ditahan menerusi operasi khas baru-baru ini.

“Ini akan mengambil masa lagi untuk membuat pengesanan ke arah tindakan pertuduhan. Kita menggunakan pendekatan berbeza dalam menjalankan siasatan syarikat berbanding siasatan yang dijalankan ke atas pegawai,” katanya.

Media semalam melaporkan, SPRM menahan 11 pegawai kastam bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan ketirisan duti kastam dianggarkan berjumlah RM3.5 billion di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Selain itu enam individu iaitu pengarah, pekerja syarikat, seorang runner dan kekasihnya turut ditahan SPRM selepas dikaitkan dengan sindiket berkenaan.

Menurut sumber, hasil siasatan setakat ini, SPRM telah merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terbabit.

Dalam pada itu, Tan Sri Azam berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 untuk mengarahkan pegawai terbabit mengisytiharkan harta mereka.

Beliau berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk dari mana sumber kewangan diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini