Tumpuan :
Nasional

Konsesi PUSPAKOM tidak diteruskan, syarikat boleh mohon pemberian kuasa hingga Oktober

Anthony Loke menyerahkan pemberian kuasa kepada PUSPAKOM, syarikat pertama menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor mekanisme baharu hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

PUTRAJAYA: Kerajaan menggalakkan syarikat berkelayakan untuk memohon pemberian kuasa atau lesen bagi melaksanakan dan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor sehingga Oktober 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Perjanjian Konsesi kerajaan dengan pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan tamat pada 31 Ogos depan dan di bawah mekanisme baharu ini, PUSPAKOM akan menjadi syarikat pertama yang diberi kuasa untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan.

“Banyak syarikat telah menunjukkan minat, apabila kita buat taklimat, hampir 50 syarikat datang. Setakat ini, ada dua syarikat yang telah mengemukakan permohonan secara rasmi kerana belum tamat tempoh lagi. Mereka ada masa sehingga Oktober untuk membuat permohonan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berharap lesen kedua dan ketiga syarikat dapat dikeluarkan menjelang Januari 2025 supaya terdapat lebih banyak persaingan dalam pasaran.

“Pihak kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan buat penilaian, mana-mana syarikat yang masuk dahulu, kita akan buat penilaian dahulu. Jadi sesiapa yang buat permohonan lebih awal, mereka akan dapat lesen lebih awal kalau memenuhi syarat, tidak perlu tunggu sehingga 31 Oktober (untuk dapat lesen),” katanya.

Katanya, antara skop pemeriksaan terlibat termasuklah pemeriksaan awalan, pemeriksaan berkala melibatkan kenderaan perdagangan dan pemeriksaan tukar hak milik yang mana diwajibkan di bawah Akta 333.

Pihak JPJ akan terus mengawalselia dan memantau penyediaan perkhidmatan serta pengoperasian pemeriksaan kenderaan motor supaya teratur, mematuhi piawai serta peraturan yang telah ditetapkan dan supaya perkhidmatan yang berkualiti disediakan kepada pelanggan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini