KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu masa sesuai untuk merakam keterangan dua individu yang masih dirawat selepas tidak sedarkan diri disyaki akibat mengambil bahan terlarang ketika konsert Pinkfish, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kedua-dua mereka sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Keadaan mereka dilaporkan stabil tetapi masih lemah. Berikutan itu, kita belum dapat merakam keterangan mereka dan sedang menunggu masa yang sesuai.
“Setakat jam 5 petang tadi, kita sudah merakam keterangan 49 individu bagi membantu siasatan polis,” katanya kepada BH, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, polis juga sedang menunggu laporan analisis toksikologi terhadap empat pengunjung konsert itu yang maut, bagi mengesahkan sebarang pengambilan bahan terlarang dan punca kematian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini dilaporkan berkata polis menerima enam laporan berhubung kematian dua lelaki dan dua wanita selepas menghadiri konsert berkenaan.
Laporan polis itu diterima daripada pihak PPUM dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau dipetik berkata, hasil siasatan awal polis mendapati empat individu maut itu disyaki terbabit pengambilan pil dadah jenis ekstasi.
Tiga lagi individu pula menerima rawatan di PPUM dan HKL, dengan seorang daripada mereka sudah dibenarkan pulang.
Terdahulu pihak penganjur konsert Pinkfish Countdown 2024 ialah antara 43 yang sudah dirakam keterangan berhubung kematian empat pengunjung konsert itu yang diadakan sempena sambutan ambang tahun baharu.
Wan Azlan memaklumkan selain penganjur, polis turut memanggil ahli keluarga dan rakan kepada tujuh individu itu, kakitangan taman tema lokasi berlangsungnya konsert terbabit, pegawai perubatan yang memberikan rawatan, serta pegawai dari PPUM dan HKL.
Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur keracunan atau jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.