KUALA LUMPUR: Selepas lebih satu dekad menyepi, Calpis Soda One In A Million membuka tirai esok apabila episod pertamanya bakal disiarkan di TV3 jam 9 malam.
Minggu pertama konsert akan menampilkan 32 peserta yang disenarai pendek melalui uji bakat yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Selain persembahan daripada peserta, tumpuan utama pastinya akan terarah kepada penampilan tiga bekas juara iaitu Suki Low, Ayu Damit dan Tomok.
“Mereka akan kembali mempersembahkan lagu-lagu yang dimenangi mereka menerusi program ini. Suki Low dengan lagu Berdiri, Ayu Damit dengan lag Hanya Di Mercu, manakala Tomok dengan lagu Berlari. Ia bakal menghidupkan kenangan manis kejayaan mereka,” menurut kenyataan media.
Panel juri terdiri daripada Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan.
“Selaku juri, Datuk Yusry dan Ziana Zain juga tidak ketinggalan untuk menghiburkan peminat dengan lagu-lagu ikonik mereka, Dekat Padamu dan Sangkar Cinta. Dalam pada itu, Cakra Khan, juri dari Indonesia akan menambah kehangatan malam dengan persembahan penuh penghayatan melalui lagu hitsnya, Kekasih Bayangan,” tambah kenyataan itu.
Pada musim ini, gandingan duo Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy diberi kepercayaan untuk menghangatkan pentas dan membawa kelainan dengan keunikkan mereka sebagai pengacara baharu.
Orang ramai boleh mengikuti @TV3Malaysia di semua platform media sosial untuk perkembangan terkini dan sertai kemeriahan Calpis Soda One In A Million.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.