KUALA LUMPUR: Konsep pakatan Hilf al-Fudul, yang mewujudkan keperluan untuk memastikan keadilan untuk semua melalui tindakan kolektif, harus diguna pakai sebagai asas untuk menangani isu kemanusiaan global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pakatan yang ditubuhkan pada zaman Nabi Muhammad SAW untuk membela yang lemah dan tidak bersalah terhadap mereka yang lebih berkuasa, masih relevan hari ini, terutamanya dalam mempertahankan rakyat Gaza yang ditindas.
Beliau berucap pada Sidang Kemuncak Perundingan Muslim Sedunia di Istanbul, Turkiye.
“Pada ketika kita bersatu di persidangan ini, marilah kita menyalurkan tenaga kolektif kita ke arah memupuk dunia, di mana keadilan bukan sahaja ideal tetapi realiti untuk setiap manusia yang ditindas dan bersengketa.
“Mari kita ingat bahawa kekuatan kita bukan hanya terletak pada kepercayaan kita yang sama, tetapi pada kemanusiaan juga,” katanya dipetik dalam video ucapannya yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Bagi merealisasikan adaptasi Hilf al-Fudul dalam dunia moden, beliau mencadangkan pembentukan dana bantuan kemanusiaan sejagat, yang boleh diakses oleh semua rantau yang dilanda konflik, rangka kerja penyelesaian konflik global yang inklusif yang memanfaatkan prinsip keadilan dan perantaraan dalam Islam, serta sistem pendidikan dan advokasi antarabangsa untuk memupuk budaya kerjasama dalam keamanan.
“Kita juga mesti membentuk gabungan global, yang bukan sahaja memahami tetapi menjunjung prinsip Hilf al-Fudul. Melibatkan negara dari seluruh dunia bagi memastikan penyertaan dan sokongan menyeluruh,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.