Tumpuan :
Nasional

Kongsi maklumat polis di Waze, jejas operasi penguatkuasaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perkongsian maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis di aplikasi Waze menjejaskan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap pemandu ingkar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata tindakan berkongsi maklumat itu menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan ke atas pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain.

“Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Hakikatnya, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” katanya ketika berucap pada Program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Kuala Lumpur di Wonderland Park, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim. – FOTO: NSTP

Baru-baru ini, beliau berkata, sebilangan masyarakat memberi reaksi negatif terhadap nasihat polis Kuala Lumpur, yang meminta orang ramai tidak berkongsi maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis, di aplikasi Waze.

Azmi berkata, pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan oleh kecuaian pemandu, termasuk yang memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat dan memandu melawan arus.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya supaya orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini