Tumpuan :
Nasional

Konflik Zahid, Guan Eng hanya isu kecil sahaja

Datuk Seri Anwar ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Lestari Niaga Madani @ Wirawati di Kampung Pandan, hari ini.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Konflik yang timbul antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng hanya isu kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan soal Guan Eng itu tidak menjadi satu masalah.

“Soal Guan Eng itu tak ada masalah, kita redakan, sikit-sikit sahaja,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Lestari Niaga Madani @ Wirawati yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Penjaja Jalan Wirawati, Kampung Pandan di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengingatkan Guan Eng supaya tidak menyinggung UMNO yang bersama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO itu berkata, zaman pemimpin DAP itu sudah berlalu dan seharusnya Ahli Parlimen Bagan terbabit memberi kepercayaan kepada pimpinan baharu parti berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak terlibat dengan himpunan aman tanda solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak pada Isnin depan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

“(Perhimpunan pada) Isnin tanya Pengerusi Barisan Nasional (BN) lah, Pakatan Harapan tidak terlibat,” jawabnya.

Sebelum ini, tular satu memo menyatakan Pas akan mengadakan himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa parti itu menggalakkan ahlinya menyertai himpunan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini