KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Wisma Putra telah mengaktifkan ‘Operasi Sudan’ yang bertugas 24 jam sejak krisis tercetus di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan berkata, operasi itu turut disertai beberapa agensi kerajaan lain bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan terpelihara.
Wisma Putra juga telah berhubung dengan beberapa buah negara sekutu termasuk Arab Saudi, Turkiye, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membantu proses membawa keluar rakyat Malaysia dari negara itu sebaik keadaan mengizinkan.
Wisma Putra dengan dibantu oleh agensi-agensi kerajaan lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.
Pasukan khas ini juga sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah yang paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada kesemua mereka di Sudan.