comscore
Tumpuan :
Nasional

Konflik Sudan: 3 lagi rakyat Malaysia dalam usaha dibawa keluar

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Kedutaan Malaysia di Sudan menerima maklumat mengenai 3 orang rakyat Malaysia yang masih terperangkap dan tinggal di wilayah Al Gaza melalui Facebook Messenger pada 30 April lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, usaha membawa keluar keluarga itu dari Sudan sedang diusahakan oleh Task Force Ops Sudan.

“Keluarga ini tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.. Walaubagaimanapun, usaha membawa mereka keluar dari Sudan sedang diusahakan,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga rakyat Malaysia serta suami warganegara Sudan itu sedang dalam perjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka akan tiba di Port Sudan hari ini.

Kementerian melalui Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Besar Malaysia ke Sudan sedang memohon bantuan Kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya mereka dapat menaiki kapal untuk dibawa keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau memaklumkan 2 orang rakyat Malaysia sedang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei, Sudan.

“Mereka ialah Mejar Zazalina Binti Ghazali dan Lt. Kdr. Naadifarin Binti Che Kamaruddin. Mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah Abyei tidak terjejas teruk oleh pertempuran di Sudan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jika keadaan memerlukan, proses membawa keluar kedua-kedua rakyat Malaysia ini akan dikendalikan pihak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Sudan, 528 orang telah terbunuh manakala 4,599 orang tercedera akibat konflik ini.

Hampir kesemua negara asing telah menjalankan proses evakuasi staf-staf kedutaan serta rakyat mereka keluar dari Sudan, antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar, Jepun, Perancis, India, United Kingdom, China, Mesir, Jordan dan Iran.

Loading...
Terkini