Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Konflik semakin meruncing, Malaysia mohon bantuan Jerman pindahkan rakyat Malaysia dari Sudan

 

PETALING JAYA: Kerajaan memohon bantuan daripada Jerman dalam usaha memindahkan rakyat Malaysia dari Sudan berikutan konflik semakin meruncing antara Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook hari ini berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, semalam dan berkesempatan menyuarakan permohonan  itu.

Perdana Menteri berkongsi foto ketika beliau terima kunjungan Presiden Jerman pada 17 Februari lalu. – FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

“Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri Malaysia akan menggembleng segala usaha bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin,” katanya.

Anwar berkata, beliau juga membincangkan dengan Steinmeier isu-isu hubungan dua hala Malaysia-Jerman, kerjasama anti-rasuah antara institut anti-rasuah kedua-dua negara, dan kerjasama dalam inisiatif tenaga karbon hijau.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberitahu, rakyat Malaysia yang terperangkap di Khartoum  berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat.

Katanya pegawai Kedutaan Besar negara di sana telah berjaya membawa keluar dua rakyat Malaysia itu keluar dari tempat mereka.

Loading...
Terkini