PETALING JAYA: Sebarang bantuan yang hendak disalurkan kepada Palestin ketika ini sukar ekoran pintu sempadan masih ditutup.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, susulan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berangkat ke Riyadh untuk bertemu pemimpin negara Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan langkah segera yang boleh diambil.
“Malaysia menghadapi masalah kerana palang merah belum mengizinkan bantuan perubatan, makanan dan bantuan-bantuan lain disalurkan.
“Sama ada melalui Rafah di Mesir atau melalui beberapa saluran yang lain.
“Oleh yang demikian, Perdana Menteri akan ke Riyadh Khamis ini untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin OIC bagi membincangkan langkah-langkah segera yang harus dilakukan,” katanya kepada Buletin TV3.
Beliau berkata demikian selepas sesi rakaman Soal Rakyat TV3 yang dihoskan Mior Abdul Malek Raiyani di Studio A Sri Pentas petang tadi.
Turut hadir menyantuni kunjungan Datuk Seri Zahid ke Sri Pentas petang tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.
Katanya, setakat ini Perdana Menteri telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM10 juta akan disalurkan selain Kementerian Luar telah menyerahkan sumbangan awal sebanyak RM1 juta kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali minggu lalu.
Selain itu katanya, kutipan RM100 juta daripada pelbagai pihak turut akan disalurkan kepada Palestin bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk negara itu susulan pergolakan yang berlaku.