Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: PAS Kedah menegaskan bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya menjelaskan kenyataan mengenai komplot itu dibuat Muhammad Sanusi adalah melibatkan perseteruan dengan menteri yang bertanggungjawab dan bukan kepada badan penguatkuasa itu sendiri.
“Kenyataan tersebut juga tidak bersangkutan dengan tangkapan pihak PDRM ke atas Muhammad Sanusi baru-baru ini walaupun secara zahirnya terdapat beberapa keraguan terhadap prosedur yang dikenakan ke atas beliau.
PAS Kedah ingin menegaskan bahawa Muhammad Sanusi tidak sesekali bermusuh dengan badan penguatkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi,” katanya.
Menurutnya lagi, Muhammad Sanusi juga telah menjelaskan bahawa beliau tidak bermusuh dengan polis sebaliknya dengan menteri yang menjaga Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Walau bagaimanapun, PAS Kedah mengharapkan agar badan penguatkuasa khususnya pihak PDRM mahupun SPRM dapat menjalankan tugas dengan penuh profesional.
Sewajarnya tindak tanduk badan penguatkuasa ini tidak dikuasai oleh mana-mana pihak yang berkepentingan kerana ia kelak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti badan penguatkuasa dalam negara,” katanya.
Badan penguatkuasa katanya, bukan sahaja seharusnya bebas bertindak melindungi kepentingan awam, bahkan mesti dilihat bebas.
Ahmad berkata demikian mengulas kenyataan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan yang menolak dakwaan wujudnya komplot terhadap Menteri Besar Kedah.