ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan dakwaan rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu bukan membabitkan pihak berkuasa sebaliknya ia adalah rancangan pihak tertentu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata komplot itu kemungkinan dirancang sejak Oktober tahun lalu apabila stor kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon dibom.
Artikel berkaitan: Komplot jatuhkan Sanusi, bukan ditujukan pada PDRM – PAS Kedah
“Itulah sebahagian daripada komplot ini. Kemudian kerajaan bertukar saya dihalang untuk menghadiri di majlis-majlis mesyuarat kerajaan Persekutuan.
(Mereka) berusaha bersungguh-sungguh, tapi gagal lah pasal saya pandai. Saya riuh kan noh..terpaksa dibenarkan hadir. Itu komplot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Zakat Perniagaan Tahun Kewangan 2022/2023 Kumpulan Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah Kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kononnya terdapat rancangan dan komplot untuk menangkap Muhammad Sanusi yang dirancang sejak enam bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penahanan yang dilakukan terhadap pemimpin berkenaan adalah berdasarkan kronologi siasatan yang dilakukan pihak polis.
Ketika ditanya adakah plot itu dirancang oleh pimpinan kerajaan perpaduan, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak tahu mengetahuinya.
“Tak tahu lah. Buatlah kesimpulan sendiri. Siapa yang dapat untung, dia lah rancang,” katanya.
Malah Muhammad Sanusi turut memaklumkan beliau akan memberi keterangan mengenai dakwaannya itu kepada polis petang ini.
“Saya hari-hari diambil keterangan. Nampak tumpuan kepada saya berlebihan kan, itu lah orang kesian kat saya. Saya angkat tangan lagu tu, budak-budak semua angkat sekarang ni.
Jangan lebih-lebih, nanti orang marah. Ha? Saya tak tahu. Lepas ni saya akan buat inilah. Satu tagline baru (angkat tangan) di Malaysia untuk rakyat ikut saya,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan kejadian simbahan cat merah dan biru di tembok kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon pada 17 Oktober lalu, rupa-rupanya didahului dengan kemusnahan terhadap sebuah kabin kontena yang terletak dalam kawasan berkenaan.
Difahamkan kabin kontena kosong itu yang dijadikan stor di kediaman rasmi itu, musnah akibat letupan yang berlaku pada 16 Oktober, kira-kira jam 2.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pihaknya menerima laporan mengenai kemusnahan kontena itu pada 18 Oktober 2022, kira-kira jam 3.49 petang.
“Siasatan awal dijalankan membawa kepada penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan,” katanya.