Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Peniaga Pasar Payang di sini, tidak sabar untuk berniaga di Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1.
Bagaimanapun, Kompleks Pasar Payang 1 yang sepatutnya dibuka kepada orang ramai semalam ditangguh lagi kerana masih dalam proses pengubahsuaian.
Tinjauan di sekitar pusat perniagaan itu mendapati kebanyakan lot kedai masih ditutup dan kerja-kerja pengubahsuaian lot niaga sedang dijalankan.
Seorang peniaga, Muhamad Aqasah Mazlan, 22, berkata, dia bersyukur mendapat lot kedai untuk perniagaan cenderamatanya.
Dia yang sudah berniaga hampir 5 tahun di Pasar Payang 2, redha dengan kadar sewa RM400 yang dikenakan.
Dia berharap kedai baharunya itu akan mendapat sambutan pengunjung.
“Kalau ikutkan semalam dah boleh masuk, tapi perlu dibuat pengubahsuaian sedikit demi keselesaan saya sebagai peniaga dan juga pengunjung, mungkin penghujung bulan ini bolehlah beroperasi”, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, kebanyakan peniaga masih belum bersedia untuk berpindah dan masih ramai yang menjalankan perniagaan seperti biasa di Pasar Payang 2.
Beliau menjangkakan, operasi perniagaan di Pasar Payang 1 ini akan bermula bulan depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.