Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
CYBERJAYA: Hati ibu bapa mana yang tidak luluh..apabila melihat anak mereka di-diagnos dengan Palsi Serebrum.
Namun, buat individu ini, dia tidak mahu menjadikan penyakit berkenaan halangan buat anaknya, menikmati kehidupan dengan gaya hidup sihat, sama seperti kanak-kanak normal.
Nik Nur Fathia di diagnos menghidap Palsi Serebrum ketika berusia lapan bulan – selepas mengalami komplikasi saat dilahirkan.
Menurut ibunya – Idayu Mokhtar, 32, anaknya di-diagnos dengan Spastic Cerebral Palsy Quadriplegia yang mengakibatkan kedua-dua kaki dan tangan anaknya tidak berfungsi.
“Masa proses bersalin, ada komplikasi di mana air ketuban saya kering. Jadi dia lemas dan kurang oksigen sekaligus beri kesan kepada otak dia. Doktor diagnos dia dengan sakit ini ketika itu umur dia 8 bulan.
Namun katanya, dia tidak mahu anaknya ketinggalan berbanding kanak-kanak yang se-usia.
Kini, Nik Nur Fathia yang sudah berusia tujuh tahun mampu menyertai dan melakukan pelbagai aktiviti antaranya larian meskipun perlu ditolak menggunakan kereta sorong bayi.
“Sekarang ini Alhamdulillah, dia dah boleh gerak sikit-sikit tangan dan kaki dia. Dia boleh senyum dan kalau kita panggil nama dia pun, dia faham.
“Tapi masih kena bantu 100% kerana dia masih tak boleh uruskan dirinya.”
Selain itu, kali ini tahun kelima dia membawa fathia untuk menyertai pertandingan fesyen yang dianjurkan setiap kali Sambutan Hari Palsi Serebrum Enam Oktober.
Dengan menyertai acara seperti itu ujar Idayu..ia dapat meningkat keyakinan anaknya untuk berdepan khalayak.
“Saya excited nak bagi anak masuk pertandingan macam ini. Jadi apa sahaja yang boleh masuk untuk dia, saya masuk.
“Bukan apa, nanti dia takdelah takut nak berjumpa orang ramai, tak menangis bila di khalayak ramai.”
Kini, beliau berharap agar lebih banyak pihak membuka mata dan mendapat pendedahan mengenai penyakit berkenaan.
“Ramai orang tak berapa cakna dengan sakit ini sebenarnya. Tapi sebenarnya sakit ini ada, jadi saya harap selepas ini, lebih ramai yang peka, yang lebih prihatin dengan keadaan mereka ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.