Tumpuan :
Nasional

Komitmen Malaysia, China banteras jenayah rentas sempadan pada tahap tertinggi

SHANGHAI: Komitmen China terhadap Malaysia untuk kerjasama serta kolaborasi dua hala dalam usaha pembanterasan jenayah rentas sempadan adalah pada tahap tertinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara inti pati pertemuan dua hala bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, selepas menyertai Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China hari ini.

Katanya hasil pertemuan itu, kedua-dua negara antara lain turut bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam beberapa aspek lain, termasuk peningkatan latihan bersama dan pertukaran pegawai tinggi dalam bidang penguatkuasaan dan keselamatan.

“Selain membincangkan beberapa isu penting lain, pertemuan ini menjadi platform mempererat kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dengan Republik itu, terutamanya dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan.

“Komitmen China terhadap Malaysia adalah pada tahap yang sangat tinggi dan kami berharap ia akan terus diperkukuh, terutamanya dengan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke China hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, kerjasama Malaysia dan China dalam membanteras jenayah rentas sempadan melibatkan judi dalam talian, menunjukkan hasil yang positif dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus membuktikan keberhasilan kerjasama antara dua negara itu.

Beliau juga berpuas hati dengan hasil persidangan berkenaan serta komitmen yang ditunjukkan China serta respons positif dari Malaysia, malah kedua-dua negara juga bertekad untuk memastikan hubungan dua hala terus berada pada tahap tertinggi.

Selain itu, beliau berkata penganjuran forum berkenaan juga membuka ruang kepada Malaysia, untuk mempelajari dan mendengar langkah-langkah yang dilakukan negara lain dalam aspek keselamatan untuk diadaptasi dalam negara.

“Dengan dunia yang semakin terhubung, kerjasama antarabangsa adalah amat penting, untuk kita mengatasi isu keselamatan yang semakin kompleks dan berkembang di seluruh dunia.

“Semoga pertemuan hari ini bukan sahaja memberi keberhasilan buat kedua-dua negara, tetapi memberi impak yang besar terhadap kestabilan dan kemakmuran global,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid tiba di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu semalam bagi lawatan kerja lima hari ke China hingga 12 Sept. Beliau dijadualkan tiba di Shanghai malam ini bagi meneruskan lawatan kerja itu dan esok beliau akan menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China anjuran Halal Development Corporation (HDC). – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini