Tumpuan :
Nasional

Komitmen kerajaan tingkatkan kualiti hidup, keselamatan warga FELDA

Foto NSTP

KUALA LUMPUR : Pelbagai insentif dan inisiatif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) 2023, bukan sahaja menyentuh soal meringankan beban peneroka malah turut meliputi aspek keselamatan.

Peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di rancangan Felda seluruh negara jelas mempamerkan komitmen kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup dan keselamatan warganya.

Penghulu Mukim Kemahang 1, Tanah Merah di Kelantan, Mohd Azizan Ismail, 35, berkata pengumuman mengenai peruntukan kos operasi 37,012 lampu jalan di kawasan FELDA adalah perkara amat dinantikan warga peneroka sekian lama.

“Saya berharap dengan adanya peruntukan kos operasi diumumkan Perdana Menteri itu, ia dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di sini yang telah tertangguh sejak dahulu,” katanya kepada Bernama.

Peneroka dari Perak, Abu Bakar Sharif, 61, berkata peruntukan bagi pencerahan jalan Felda itu wajar memandangkan hanya kira-kira 60 peratus sahaja lampu jalan berfungsi di FELDA Lasah.

“Selama ini, kos penyelenggaraan ditanggung separuh oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan separuh lagi ditanggung penduduk kampung yang dihuni kira-kira 387 peneroka.

“Keadaan ketika malam agak gelap kerana tiada lampu yang mencukupi manakala keadaan struktur jalan pula tidak berapa baik, dan ini menyukarkan kami,” katanya.

Selain itu, pengumuman perdana menteri turut menyentuh mengenai penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.

Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Datuk Mazlan Aliman menyifatkan insentif yang diumumkan sudah pasti melegakan para peneroka dan generasi baharu Felda.

“Paling utama adalah penstrukturan semula pinjaman berjumlah RM8.3 bilion. Di sinilah letaknya suatu mekanisme yang sangat ketat agar ketirisan tidak berulang kembali. Saya ingin ingatkan masyarakat Felda untuk sentiasa menyokong setiap dasar yang baik tetapi apabila berlaku korupsi, peneroka-peneroka inilah menanggung akibatnya,” katanya.

Di Johor, Penghulu FELDA Ulu Tebrau Ab. Jalil Sahlan menyambut baik inisiatif melibatkan warga emas memandangkan sebahagian besar warganya adalah dalam kalangan peneroka yang telah berumur.

Ia melibatkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 yang akan memanfaatkan 70,715 peneroka berumur 65 tahun ke atas melibatkan peruntukan RM21.21 juta, dan pembinaan 12 pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta.

“Pembinaan 12 buah pusat hemodialisis di kesemua wilayah Felda, sangat memudahkan kami mendapatkan perkhidmatan kesihatan tanpa perlu menghabiskan masa dan wang untuk perjalanan yang jauh bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Di Terengganu, Tengku Latipah Tengku Ismail, 66, dari Felda Neram 2, Kemaman yang teruja dengan insentif khas SKR, amat bersyukur atas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga peneroka.

“Saya bersyukur sebab sebelum ini cuma ada bantuan warga emas daripada kerajaan negeri RM50 sebulan. Jadi dengan adanya insentif ini sudah tentu akan meringankan beban…tambahan pula hasil jualan kelapa sawit kadang kala tidak menentu, ada masa boleh buat simpanan dan ada masanya hanya cukup makan,” katanya.

Di Kedah, peneroka FELDA Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam Ahmad Man, 65, pula berharap kerajaan menyegerakan perkara yang telah diumumkan kepada peneroka.

Perdana menteri juga mengumumkan subsidi diesel RM36 juta setahun bagi tiga Felda di Sabah, program Digital MADANI bagi memperkasa ekonomi gig dan penyelesaian baki 283 unit isu Perumahan Generasi Baharu Felda yang terbengkalai.

Perdana menteri turut menyatakan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk melupuskan 80 peratus  hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion serta mempertimbangkan usaha drastik bagi membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain seperti sawit, kelapa atau yang bersesuaian tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri masing-masing. – BERNAMA

Loading...
Terkini