Oleh: Fahiz Ariff
PUTRAJAYA: Jualan Agro MADANI memberi kelegaan buat penduduk sekitar Lembah Klang kerana harga yang ditawarkan murah 30 peratus berbanding pasaran biasa sekaligus mengurangkan perbelanjaan harian mereka.
Program yang dilaksanakan sejak April tahun ini, merupakan kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Paling mencuri tumpuan ketika jualan ini, promosi Kombo Madani iaitu jualan barangan runcit berpakej yang ditawarkan pada harga istimewa.
Menurut Pengarah FAMA Negeri Selangor, Aiada Abdul Rashid, sayur, buah-buahan, ayam proses, telur, ikan, gula dan minyak masak antara barangan runcit yang melengkapi Kombo Madani tersebut.
“Untuk setiap kombo madani kita tidak tetapkan sebarang ketetapan harga, tetapi kami memberi potongan harga RM5 untuk setiap kombo”
“Kami juga pastikan didalam kombo itu, dilengkapi keperluan seperti ayam, sayur, dan bahan-bahan runcit lain, sesuai dengan pakej kita tetapkan”
“Malah, setiap kombo itu berbeza, maksudnya berbeza komoditi, berbeza lokasi dan berbeza nilai dia”, jelasnya.
Sementara itu, rata-rata pengunjung mengakui Jualan Agro Madani ini sememangnya berbaloi.
Pengunjung, Hamidah Ahamad Rashidi yakin, program jualan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama dalam komponen makanan melalui penjimatan harga yang ditawarkan.
“Harga ayam sangat berbaloi, selalunya 1kg dah RM9, Sawi RM2 seikat, jagung pun minimum RM2 setongkol”
“Jadi, bila dekat sini boleh dapat RM15, ia sangat-sangat berbaloilah”, akuinya.
Berkongsi perasaan sama, seorang lagi pengunjung, Khaleed Redza Badrul Hisham mengakui penjimatan perbelanjaan barang dapur setiap isi rumah dapat dijimatkan menerusi program ini.
“Bagi saya jualan MADANI ni harga dia berpatutanlah, kalau dekat luar mungkin dalam RM20 tapi disini RM15, so bagi saya harga yang ditawarkan sangat jimatlah”, kongsinya kepada Buletin TV3.
Untuk rekod, sehingga bulan ini, sebanyak 200 program Jualan Agro Madani telah dianjurkan yang membabitkan 3,000 usahawan dengan nilai jualan sebanyak RM3 juta.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bagi pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar terpilih pada kadar harga yang berpatutan dengan penjimatan di antara 10 hingga 30 peratus.