AYER KEROH: UMNO menyifatkan pelantikan Timbalan Menteri yang diumumkan malam tadi sebagai yang terbaik dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin, berkata ini kerana kombinasi pemimpin lama dan baharu, di samping pelantikan beberapa ahli politik muda memberi memberi keyakinan kepada rakyat yang menginginkan kerajaan yang stabil dan kukuh.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ini (barisan Kabinet) terbaik yang `dipersembahkan’ untuk rakyat menerusi Kerajaan Perpaduan seperti yang dititah dan diharapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Justeru, dengan lengkapnya barisan Kabinet ini, saya harap semua pihak dapat `move on’ (meneruskan), hentikan seketika soal politik kerana rakyat memerlukan sebuah kerajaan stabil.
Semoga kemakmuran yang diimpikan selama ini dapat dicapai secara bersama,” katanya.
Beliau yang juga EXCO Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Melaka ditemui selepas menyampaikan Anugerah Hijau Melaka 2022 anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput turut mengucapkan tahniah kepada lima Ahli Parlimen UMNO yang turut dilantik sebagai Timbalan Menteri, termasuk Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Malam tadi, Anwar mengumumkan senarai 27 Timbalan Menteri kepada Kabinet Kerajaan Perpaduan, selepas tujuh hari pengumuman 28 Menteri Kabinet, 2 Disember lalu.
Senarai nama berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Upacara angkat sumpah Timbalan Menteri akan berlangsung di Istana Negara jam 3 petang ini. – BERITA HARIAN