
SELAYANG: Kementerian Pendidikan (KPM) membuat penjenamaan semula beberapa istilah dalam sistem pendidikan Tingkatan Enam berkuat kuasa serta-merta, kata Menterinya Fadhlina Sidek.
Jelas beliau, kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM dengan jawatan pengetua akan ditukarkan kepada pengarah.
Ia turut menyaksikan perubahan bagi istilah guru penolong kanan kepada timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.
Menerusi proses sama, katanya, pengarah Kolej Pra-Universiti diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus, sekiranya masih terdapat kekosongan.
“Penjenamaan semula ini dibuat dalam usaha memberi peluang kepada murid untuk melangsungkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan KPM akan meneliti kelonggaran syarat bagi kemasukan ke Tingkatan Enam.”
Justeru, KPM merangka strategi bagi pemberian autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam bagi pengambilan pelajar, sekiranya masih terdapat kekosongan.

“Pengarah akan mengenal pasti pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian dan boleh menggunakan kuasa autonomi untuk membuat tawaran sendiri secara terus kepada murid berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ‘Malaysian University English Test’ (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2022 hari ini.