Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan tempoh dua bulan yang berbaki tahun ini kepada semua platform media sosial untuk meneliti draf pertama Kod Tatalaku yang dijangka siap hujung bulan ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya juga memberikan tempoh masa sama buat penyedia platform media sosial mendaftar dengan MCMC sebelum sebarang tindakan diambil.
“Seperti semua sedia maklum, menjelang 1 Januari 2025 semua platform media sosial dan sistem pemesejan internet yang mempunyai pengguna 8 juta ke atas di Malaysia diwajibkan untuk dilesenkan oleh MCMC.
“Jadi sambil kita mengikuti perkembangan sama ada di Perancis ataupun di Brazil, kita juga telah mengusahakan perbincagan dengan platform-paltform media sosial untuk membangunkan kod tatalaku yang akan disiapkan draf pertamanya hujung bulan Oktober.
“Kita beri masa kepada semua paltform media sosial untuk menekuni dan mencerakin isi kandungan kod tatalaku ini dan kita beri masa kepada mereka selama dua bulan yang berbaki tahun ini untuk berdaftar dengan MCMC,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pos 2024 di sini, hari ini.
Jelas beliau, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana syarikat yang memenuhi syarat namun gagal membuat pendaftaran.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Kod Tatalaku yang sedang dibangunkan (MCMC) akan berfungsi sebagai panduan kepada platform media sosial agar tindakan boleh dikenakan kepada pengguna sekiranya mereka melanggar kod berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.