KUALA LUMPUR: Kod tatalaku pelesenan penyedia platform media sosial akan diumumkan selewat-lewatnya hujung Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penyediaan draf kod tatalaku tersebut sedang diusahakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Tatalaku ini bertujuan untuk diteliti oleh platform media sosial dalam tempoh dua bulan sebagai garis panduan sebelum mendaftar untuk pelesenan.
“Ia supaya mereka faham tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat Malaysia yang guna platform mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri rakaman “Podcast Kempen Kesedaran Kesihatan Mental” anjuran Suria KLCC, disini hari ini.
MCMC sebelum ini memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2025.
Ditanya mengenai kandungan kod tatalaku tersebut, Fahmi berkata beliau belum dimaklumkan oleh pihak MCMC berkaitan perkara itu, tetapi menjelaskan bahawa kod tersebut akan berubah mengikut peredaran masa dan perkembangan platform-platform media yang akan dilesenkan.
Sementara itu beliau berkata, beberapa akta baharu juga akan digubal seperti Akta Keselamatan Dalam Talian yang akan diuruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata platform-platform media waktu ini tidak membenarkan penglibatan kanak-kanak, namun jika dilihat ia tidak dilaksanakan dengan baik kerana tiada kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Justeru Fahmi berkata dengan adanya kerangka ataupun apabila media sosial itu dilesenkan, kerjasama dengan pihak PDRM dan peguam akan lebih baik.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.