KUALA LUMPUR: Kod etika berpakaian yang didakwa dikeluarkan pihak pengurusan Menara Exchange 106, menerima kecaman daripada warganet selepas ia tular di Twitter.
Peraturan itu didakwa orang ramai sebagai terlalu berlebihan selepas ia didedahkan oleh pengguna Twitter @saifyakhtar.
Ciapan itu kemudiannya mendapat 243,100 tontonan dan 680 tweet semula.
Berdasarkan notis dikeluarkan Pengurus Besar Mulia Property Development Sdn Bhd, Patrick Honan, kod etika berpakaian itu adalah mengikut buku panduan penyewa bangunan berkenaan.
Namun, Bahagian G Buku Panduan Penyewa: Peraturan dan Peraturan (Halaman 21, Perkara 44) ternyata menimbulkan kemarahan.
Melalui garis panduan itu, penyewa diarahkan untuk menguatkuasakan pakaian pejabat atau kod pakaian kasual, seolah-olah tidak memberi ruang untuk pakaian santai seperti selipar, seluar pendek atau kemeja T.
Melalui peraturan itu ia menjelaskan: ‘Kami menggalakkan penyewa untuk memastikan pekerja, pelawat dan tetamu mereka menghormati pakaian pejabat yang sesuai atau kod pakaian kasual sebagaimana yang terpakai untuk bangunan pejabat komersial Gred Premium A’.
“Pakaian membabitkan selipar, seluar pendek, kemeja T, dan lain-lain, tidak dianggap sesuai.
“Pihak pengurusan berhak untuk menyekat akses ke kawasan umum jika pakaian tidak dianggap sesuai.
“Saya berkongsi peringatan ini supaya anda boleh membantu kami dalam terus menjadikan Exchange 106 sebagai infrastruktur korporat paling premium di Malaysia,” menurut notis itu.
Peraturan itu bagaimanapun dipersendakan warganet dengan mempertikaikan soal dasar ketat bangunan ‘Gred Premium A’.
Walaupun sesetengah pihak mempertahankan hak pengurusan untuk menetapkan peraturan mereka sendiri, namun yang lain menganggap peraturan itu tidak masuk akal.
Pengguna @jackson_llk menyindir, ‘Saya fikir Gred Premium A hanya digunakan untuk menggambarkan telur atau daging lembu.
‘Sementara itu, pengguna @tigerbhaiz meramalkan akan berlakunya lebih banyak pertembungan apabila bangunan pencakar langit itu menerima penyewa membabitkan restoran gred premium.
Pengguna @0x__Darren pula menyuarakan rasa ingin tahu jika peraturan sama turut dikuatkuasakan di bangunan Premium Gred A yang lain.
“Ia agak tidak masuk akal, tetapi jika penyewa menandatangani perjanjian dan tidak membaca bahagian terma dan syarat, ia adalah hak pengurus bangunan terbabit.
“Namun saya tertanya-tanya mengenai peraturan di bangunan Gred Premium A laim dan sama ada peraturan sedemikian boleh dikuatkuasakan,” kata @0x__Darren.