Tumpuan :
Nasional

KLN, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, EME pantau penuntut Malaysia terbabit kemalangan di Mesir

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt (EME) memantau rapi keadaan lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar yang terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.

Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam KLN dalam satu kenyataan media berkata, pegawai EME turut melawat penuntut terbabit di Hospital As Salam Port Said dengan segera untuk memberikan bantuan dan mengetahui keadaan mereka.

“Lima daripada penuntut terbabit mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Tiga lagi yang dalam pemantauan akan dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sudah memberikan sokongan kepada penuntut berkenaan dan akan terus memantau dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan mereka.

Pihak kementerian juga akan terus berkongsi maklumat terkini sekiranya perlu.

Terdahulu, media melaporkan lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.

Menurut EME, lima penuntut mengalami luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Mereka adalah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon.

Manakala, tiga lagi penuntut adalah Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini