comscore
Tumpuan :
Nasional

KKR siasat nahas akibat keliru garis jalan kuning, putih bertindih di NKVE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan siasatan terperinci dilaksanakan terhadap insiden nahas membabitkan dua kenderaan akibat kekeliruan pertindihan garisan jalan berbeza warna di Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE), Isnin lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata laporan awal menunjukkan syarikat konsesi Lebuh raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sudah mengenal pasti kawasan pertindihan garisan jalan yang perlu ditambah baik sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, DASH mula melakukan proses menghitamkan garis jalan yang bertindih sejak semalam, dan akan melihat secara keseluruhan kadar penghitaman yang diperlukan, dengan kerja penambahbaikan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hari.

“Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan DASH juga akan menilai semula keadaan di tapak di NKVE, terutamanya garis jalan kuning dan putih supaya lebih teratur dan jelas serta selamat untuk dilalui pengguna.

“Saya menekankan perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.

“Pada masa sama, saya juga meminta semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu.

Keselamatan di jalan raya adalah tanggung jawab kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas satu insiden nahas membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berlanggar di NKVE, dipercayai akibat kekeliruan garis jalan berwarna kuning dan putih yang bertindih.

Dalam satu video kamera papan pemuka yang merakam insiden nahas itu, sebuah kereta MPV berwarna hitam dilihat cuba memotong MPV berwarna putih.

Namun, kenderaan berwarna hitam itu hilang kawalan selepas keliru dengan garis jalan berwarna kuning yang bertindih dengan garis putih, sebelum melanggar kenderaan putih.

Loading...
Terkini