Tumpuan :
Nasional

KKR sedang siasat punca 2 beradik maut dihempap tanah runtuh

Kesan rumah dalam kejadian insiden tanah runtuh membabitkan dua maut satu cedera dalam kejadian pada jam 4.30 petang di Kampung Bukit Apit, Ajil. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia menawarkan khidmat kepakaran yang ada kepada jabatan atau agensi lain yang memerlukan ketika negara dilanda banjir.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tragedi dua beradik maut dan seorang cedera apabila kediaman mereka di Ajil, Terengganu dihempap tanah runtuh sangat mendukacitakan.

Katanya, kementerian itu dimaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk sama ada kawasan sekitar tempat kejadian selamat untuk diduduki atau sebaliknya.

“Saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban, tidak ada perkara yang lebih menyedihkan daripada kehilangan insan tersayang.

“Hujan lebat musim Monsun Timur Laut kali ini menyebabkan banyak negeri dilanda banjir, serta kejadian jalan atau tanah runtuh dan mendap, malah sudah ada nyawa yang terkorban,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, dua beradik, Puteri Sajidah Azman, 16 dan adiknya Siti Fatimah, 13, maut manakala seorang lagi cedera, Uzair, 17, selepas kediaman mereka di Kampung Bukit Apit di sini dihempap tanah runtuh.

Dalam perkembangan lain, beliau juga dimaklumkan mengenai penutupan Jalan Gua Musang-Jeli (Jalan Jelawang) di Kilometer 35.40 di daerah Gua Musang, bagi semua jenis kenderaan bermula 10 malam tadi, akibat mendapan tanah.

Jalan negeri itu dikesan mula mendap kira-kira jam 9 pagi semalam dan kawasan terjejas adalah sepanjang 15 meter.

“Pihak JKR serta syarikat konsensi sudah mengambil langkah awal dengan memasang penghadang plastik dan papan tanda jalan ditutup.

“JKR akan terus menilai situasi semasa dan menjalankan siasatan lanjut terutama membabitkan struktur jalan serta tahap kekuatan tanah yang terjejas.

“Justeru, saya menasihatkan semua pihak, supaya mematuhi arahan pihak berkuasa selain memberi perhatian terhadap perubahan cuaca serta bentuk muka bumi, bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Marilah kita bersama-sama menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat dalam menghadapi tempoh-tempoh sukar ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini