Tumpuan :
Nasional

KKR naik taraf aplikasi Sistem eBencana, kemaskini maklumat setiap 4 Jam

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melancarlan Majlis Perasmian Bilik Gerakan Bencana (BiGBEN) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBENCANA) di ibu pejabat JKR.

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) menaik taraf aplikasi mudah alih Sistem eBencana JKR yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata setiap pelaporan terkini kejadian bencana di setiap daerah yang terjejas akan dikemaskini setiap empat jam di aplikasi sistem berkenaan.

“Maklumat-maklumat ini penting untuk terus diakses ke telefon bimbit oleh pengguna terutamanya di kawasan-kawasan yang terkesan,”katanya.

Nanta berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bilik Gerakan Bencana (BiGBEN) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBENCANA) di ibu pejabat JKR di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, bilik gerakan BiGBEN menyediakan maklumat bencana banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh.

Ujarnya lagi, maklumat mengenai penutupan jalan serta informasi laluan alternatif untuk pengguna jalan raya merancang perjalanan semasa musim turut dikongsikan.

“Pengoperasian BiGBen dan Sistem eBencana JKR memberi manfaat bukan sahaja untuk orang awam, malah boleh menjadi rujukan kepada agensi terlibat untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara yang efisien,” katanya

Sebelum ini, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bilik gerakan bencana KKR diaktifkan bermula 5 November 2024 hingga Mac 2025 bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

MTL atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 November dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini