KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mempunyai hala tuju untuk memanfaatkan teknologi internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam menambah baik kualiti jalan raya di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, berkata melalui teknologi itu, kaedah pembaikan jalan raya rosak boleh dipercepatkan seperti dilaksanakan di beberapa negara maju.
“Kita di kementerian ada menerima kunjungan beberapa syarikat yang menawarkan penyelesaian yang sarat dengan penggunaan teknologi IoT dan AI bagi tujuan itu.
“Kelmarin ada syarikat dari luar negara yang bertapak di negara ini, mencadangkan penambahbaikan aplikasi MyJalan menggunakan sistem mereka.
“Ini semua bagi mencapai satu kaedah yang mana kita mahu bersama negara maju untuk memastikan kualiti dan mutu jalan yang selesa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim yang ingin tahu sama ada Malaysia ke arah mempercepat tindakan KKR dalam mengesan kerosakan jalan dengan menggunakan teknologi IoT dan AI seperti Jepun.
Sementara itu, mengenai soalan asal Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang mahu tahu penyelarasan status aduan daripada agensi lain di bawah aplikasi MyJalan, Alexander berkata ia dapat dilaksanakan melalui penggunaan sepenuhnya Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun agensi kerajaan negeri.
Beliau berkata, KKR sudah melaksanakan permohonan pelaksanaan integrasi antara aplikasi MYJalan dan i-Tegur di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) pada Julai lalu, malah satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan antara KKR dan JKT bagi membincangkan keperluan integrasi penyelarasan aduan yang diterima bagi jalan di bawah PBT.
“KKR dan JKT bersetuju supaya integrasi aduan melalui aplikasi MYJalan dilaksanakan secara terus kepada SISPAA JKT atau PBT seperti sedia ada bagi memudahkan pemantauan tindakan terhadap aduan yang diberikan sekali gus pengadu mendapat status tindakan terhadap aduan yang diberikan secara automatik.
“KKR juga sudah mengadakan libat urus dengan Biro Pengaduan Awam (BPA) bagi membincangkan berkenaan sistem SISPAA dan penambahbaikan membabitkan inter-agensi dan keperluan untuk BPA mengintegrasikan SISPAA dengan sistem lain yang digunakan untuk penyelenggaraan jalan raya.
“Seterusnya KKR akan turut membawa isu dan cadangan berkaitan penyelarasan aduan aplikasi MYJalan ke peringkat Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) untuk dibincangkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.