comscore
Tumpuan :
Nasional

KKR aktifkan bilik gerakan bencana hadapi MTL

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bilik gerakan bencana Kementerian Kerja Raya (KKR) diaktifkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bermula 5 November 2024 hingga Mac 2025.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui bilik gerakan itu KKR berupaya untuk membuat pemantauan banjir, seterusnya mengatur gerak pasukan di peringkat daerah.

“Bilik Gerakan Bencana atau Big Ben lengkap dengan sistem dan alat-alat bantu kita untuk memantau banjir, seterusnya menggerakkan pasukan di peringkat daerah dan sebagainya. Kita dah ada sistem itu, sekarang kita dah gerakkan,” katanya.

Nanta berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia kali ke-12 dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia kali kelima di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan MTL atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 November dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata sekiranya kejadian monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini